1.0 PENGENALAN
Peranan guru amat penting dewasa ini, ia adalah domain
utama yang perlu dilaksanakan dengan penuh amanah dalam proses penerapan dan
penyampaian ilmu kepada anak bangsa. Ledakan era globalisasi turut mengheret
kemajuan pesat bidang pendidikan negara. Hal ini menuntut warga pendidik untuk
membangunkan diri, sama ada secara rela atau tidak supaya selari dengan bidang
pendidikan yang sememangnya sentiasa berubah dan mengalami pembaharuan dari
masa ke semasa. Situasi inilah secara umumnya telah mengakibatkan warga
pendidik terpaksa berhadapan dengan pelbagai tugas dan tanggungjawab yang lebih mencabar, lebih berat dan semakin terbeban.
Situasi inilah menyebabkan guru-guru dikatakan sangat terdedah kepada risiko
tinggi untuk mengalami stres.
Dipetik daripada Utusan Online ruangan Gaya
Hidup bahagian pendidikan oleh Noor Hamizah Abu Bakar di dalam artikelnya yang
bertajuk; Guru Lebih Stes, menyatakan hasil kajian mendapati bahawa guru berada
di kedudukan keempat dalam kerjaya yang paling mencetuskan tekanan atau stres
terutama dari segi fizikal selepas polis, pegawai penjara dan jururawat. Malah,
kedudukan itu berada di atas daripada profesion tentera yang menduduki tempat
ke lima.
Stres di kalangan guru merupakan topik popular
yang tidak asing lagi dibincangkan oleh media massa mutakhir kini. Di Malaysia,
stres di kalangan guru dilaporkan meningkat pesat selari dengan kepesatan
pembangunan pendidikan di Malaysia. Laporan berkenaan masalah dan salah laku
guru di dada-dada akhbar, hampir kesemuanya adalah kesan daripada kegagalan
guru-guru berkenaan menguruskan stres dalam diri. Masalah stres dikalangan guru
haruslah dikenal pasti dan diketahui punca sebenar seterusnya ditangani
sewajarnya. Sekiranya tidak ditangani masalah ini akan merebak sehingga mengakibatkan
permasalahan-permasalahan yang serius yang berhubung kait rapat dengan gangguan
emosi, perubahan dalam tingkah laku seterusnya “burn out” yang
menghalang mereka daripada melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih
berkesan (Kyriacou dan Sutcliffe, 1978).
2.0 DEFINISI STRES
Stres merupakan perkataan pinjaman yang bersal daripada
perkataan bahasa Inggeris; “stress” yang membawa maksud tekanan, titik
berat, dan ketegangan.
Kamus Oxford pula mendefinisikan stres sebagai
satu tekanan atau desakan, usaha, tuntutan ke atas keupayaan fizikal atau
mental.Ini bermaksud stres adalah suatu keadaan dimana kekuatan fizikal, mental
dan emosi seseorang individu teruji melampaui keupayaan tubuh dan mindanya yang
tidak mampu menahan dan menanggungnya lagi.
Menurut Statt (1981), stres ialah ketegangan
fizikal dan psikologi yang berpanjangan untuk suatu masa, yang boleh menggugat
keupayaan seseorang untuk mengendali suatu situasi.
Hans Selye (1963), telah memberikan maksud
yang berbeza mengenai stres dengan membuktikan di dalam kajiannya terhadap
binatang. Beliau menunjukkan bahawa stres boleh menyebabkan penyakit, seterusnya
penyakit yang dihidapi akibat daripada stres yang berlebihan boleh membawa maut. Daripada kajian beliau
juga mendapati stres juga boleh berlaku ke atas manusia.
Secara keseluruhannya stres adalah :
·
Ketidakupayaan
memenuhi tuntutan persekitaran.
·
Gangguan fungsi
kehidupan.
·
Perubahan dinamik
yang menyebabkan individu berdepan dengan masalah, kekangan dan desakan hidup.
·
Peristiwa atau
keadaan persekitaran yang mendatangkan akibat yang negatif.
·
Tekanan yang
mengakibatkan kebimbingan, keletihan dan ketegangan kepada individu.
·
Tindak balas luaran
yang mengganggu mental dan fizikal atau tindak balas kimia dalam tubuh.
3.0 FAKTOR-FAKTOR STRES DI KALANGAN GURU
Terdapat banyak punca berlakunya stres dikalangan guru. Faktor-faktor
ini dapat dibahagikan kepada lima faktor utama;
·
Faktor diri.
·
Faktor interpersonal.
·
Faktor organisasi.
·
Faktor kekurangan
sumber.
3.1 Faktor diri
Pada zaman yang sangat mencabar, pekerjaan
yang diimpikan amat sukar untuk diperolehi. Kebanyakan mahasiswa keluaran
universiti-unversiti tempatan terpaksa mengangur begitu lama untuk mencari
pekerjaan yang selesea, mudah, dan menjanjikan gaji yang lumayan.
Profesion keguruan sering dilihat sebagai
pilihan terakhir. Sering kali profesion ini dianggap sebagai profesion
peringkat pertengahan di bawah profesion professional yang lain seperti doktor,
jurutera, peguam dan lain-lain. Ini menyebabkan ramai dikalangan guru yang
tidak ikhlas semasa memilih profesion ini. Mereka meramalkan profesion ini
begitu selesa dan tidak menyusahkan kerana beranggapan tanpa latihan asas pun
mereka masih boleh menjadi guru dan menerima gaji bulanan yang lumayan
disamping cuti yang banyak.
Hal ini menyebabkan golongan guru seperti ini
menghadapi tekanan sebaik sahaja menjalani kehidupan sebagai seorang guru
kerana realiti situasi yang dihadapi tidak seperti apa yang diramalkan. Menjadi
seorang guru bukanlah sesuatu yang mudah. Insan guru mestilah insan yang ikhlas
dan sanggup berkorban.
3.2 Faktor Interpersonal
Daripada
kajian yang telah dijalankan, Azizi Yahya (2007) mendapati diantara faktor
interpersonal stres dikalangan guru ialah meraka merasakan diri mereka tersisih
daripada rakan sekerja. Selain daripada itu, rakan guru juga mementingkan diri
serta tidak menghormati tindakan, perasaan serta pendapat dari rakan guru yang
lain.
Hal ini
sepatutnya tidak berlaku kerana setiap insan guru perlulah meningkatkan
motivasi diri, menanam sikap tolong menolong, bekerjasama dalam menyelesaikan
sesuatu tugasan yang ditetapkan. Di samping menghormati perasaan dan pendapat
rakan sekerja dengan hati yang terbuka dan cuba mempertingkatkan kelemahan yang
ada pada diri.
3.3 Faktor Organisasi
Faktor
organisasi merupakan antara faktor yang terbesar menyebabkan stres dikalangan
guru. Faktor ini juga merupakan faktor yang utama dalam sektor awam selain
guru. Antara faktor-faktor stres yang dikategorikan sebagai faktor organisasi
ialah;
·
Semua kerja perlu
segera - kesuntukan masa.
·
Tugasan kerja
berterusan (kronik).
·
Perbezaan persediaan
tugas dengan ketetapan tugas.
·
Tugasan kerja kerana
kuantitatif dan kualitatif.
·
Perubahan dasar yang drastik.
Faktor-faktor
yang diatas secara umumnya terus menerus berlaku dalam profesion keguruan dan
telah menambah beban guru. Dipetik daripada arkib Utusan Online bertarikh
18 Mei 2009, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim
Anang di dalam laporan yang bertajuk; Beban Tugas boleh Bawa Tekanan Perasaan
Guru, menegaskan bahawa peningkatan beban tugas dan tekanan kerja menyebabkan
semakin ramai kalangan guru terdedah kepada risiko mengalami tekanan perasaan.
3.4 Faktor kekurangan Sumber.
Kekurangan sumber terutamanya sumber tenaga
manusia merumitkan lagi masalah stres yang dihadapi dalam bidang keguruan.
Kekurangan guru sememangnya diakui merupakan faktor yang rumit dan sukar
diatasi. Hal ini menabahkan lagi bebanan kerja guru-guru sedia ada secara terus
menerus. Tahap stres guru sememangnya bertambah berikutan keadaan jumlah guru
yang kurang dan tidak seimbang serta peningkatan jumlah murid tahun, guru-guru
seringkali memikul tanggung jawab dan bebanan yang banyak.
Aziz Yahya (2007) menegaskan diantara faktor
stres dikalangan guru ialah mereka terpaksa melakukan tugas yang bertentangan
dengan bidang, kemahiran dan kehendak mereka. Hal ini sama sekali tidak akan
berlaku sekiranya bilangan guru di sekolah mencukupi.
4.0 MENGENDALIKAN STRES DI KALANGAN GURU
Kesemua faktor yang menyumbang kepada masalah
stres di kalangan guru seharusnya diambil perhatian sepenuhnya oleh semua pihak
seterusnya di atasi dengan cara yang palin sesuai dan berkesan. Sebagai tunggak
pendidikan negara, guru sememangnya perlu bijak menangani segala isu pendidikan
agar dapat mengawal stres. Oleh itu, guru perlu bijak dalam mengendalikan
stres. Kegagalan guru untuk mengendalikan stres memberikan kesan negatif kepada
kesejahteraan fizikal, mental dan emosi guru sekaligus menjejaskan profesion
keguruan dan bidang pendidikan negara.
Stress dalam kalangan guru dapat dikendalikan
dengan strategi berikut:
4.1 Kenal pasti reaksi emosional.
Apabila keperluan emosi dapat dikenal pasti
maka seseorang guru boleh menangani stress dengan cara yang lebih positif.
Contoh situasi, seorang guru perempuan tidak bersefahaman dengan pengetua di
sekolahnya. Guru tersebut telah menangani stress dengan cara yang negatif,
iaitu menengking pengetua itu. Setelah guru tersebut mengetahui keperluan emosi
dalam dirinya, guru tersebut sedar bahawa tindakannya adalah kerana suatu masa
dahulu ayahnya telah menggunakan pendekatan yang sama oleh pengetua itu, iaitu
lagak bapa yang menghukum anaknya. Guru tersebut sedar bahawa dia inginkan
pengetua itu menghargai beliau. Guru tersebut telah berhadapan dengan pengetua
dan memberitahu perasaannya itu. Akhirnya, hubungan mereka berjaya dipulihkan.
4.2 Komitmen sosial.
Apabila berhadapan
dengan stress, guru memerlukan sokongan daripada orang-orang di sekelilingnya.
Oleh itu, komitmen sosial amatlah penting.
4.3 Kehidupan fizikal.
Stress menjejaskan kesihatan dari segi
imunisasi tubuh. Oleh itu, seseorang guru harus tahu teknik yang berkesan untuk
menangani stress terutamanya menjelang waktu-waktu tekanan memuncak seperti
musim peperiksaan pelajar dan pertukaran pentadbiran di sekolah.
Pengetahuan dalam senaman rutin dan pelan
makanan seimbang boleh membantu guru menangani stress. Seorang guru perlu
memberi perhatian kepada penjagaan kesihatan dan kecergasan diri. Perbanyakkan melakukan
dan menyertai aktiviti yang menjurus kepada senaman berbentuk fizikal seperti
aerobik dan bermain badminton serta melakukan secara beramai-ramai bagi menimbulkan
suasana yang harmoni dan penuh gelak-ketawa.
Selain dari menjaga kecergasan diri, guru juga
boleh bersosial dengan teman-teman rapat dalam masa yang sama untuk
bertukar-tukar pandangan dan pendapat
tentang sesuatu isu.
Semua guru haruslah mengamalkan gaya hidup
yang sihat dalam kehidupan seharian. Ini termasuklah menjaga soal pemakanan
dengan pengambilan makanan yang seimbang serta banyak menghabiskan masa dengan
keluarga dan mengelakkan gaya hidup yang negatif seperti merokok, minum arak,
berhibur di kelab malam dan sering tidur lewat.
4.4 Intelek
Guru hendaklah bergaul dengan golongan yang
memiliki tahap intelek yang serupa dengan mereka kerana aspek intelek boleh
membantu guru menangani stress (Gold Yvonne dan A. Roth Robert, 1993).
Dengan menjadi guru tidak semestinya kita
tidak perlu menambah ilmu pengetahuan terutamanya dalam mengetehui cara
mengatasi stres. Guru seharusnya terus memperbanyakkan maklumat mengenai
pengurusan tekanan dari pembacaan buku ataupun rencana akhbar mahupun menonton
rancangan-rancangan berkaitan di televisyen. Lebih banyak maklumat yang
diperolehi maka lebih mudahlah untuk
seseorang guru mengurus tekanannya.
Stress jika dibiarkan, boleh mendatangkan
kesan sampingan yang tidak baik. Justeru adalah penting untuk mengubah diri
individu untuk menangani stress dengan cara yang terbaik. Kenal pasti punca
yang menyebabkan masalah tersebut dan ubah. Dengan mengetahui punca stress
tersebut, individu bukan hanya meringankan masalah kini malah menghindarkan
berulangnya masalah serupa pada masa akan datang. Contohnya, jika seseorang
guru kecewa dengan perbalahan dengan pelajarnya, guru tersebut mungkin
menyedari bahawa punca kekecewaannya itu bukan disebabkan oleh tingkah laku
pelajar tetapi harapan yang tidak realistik guru berkenaan. Dengan mengubah
standard yang ingin dicapai, guru tersebut akan mendapati bahawa tingkah laku
pelajar tidak lagi mengganggunya.
Bagi mengatasi masalah tersebut juga, Goleman
(1999) telah menyarankan lima faktor atribusi terhadap masalah stress atau burnout.
Faktor- faktor tersebut ialah:
a) Kesedaran Kendiri
(self-awareness)
b) Pengawalan Kendiri (self-regulation)
c) Motivasi Kendiri (self-motivation)
d) Empati
e) Kemahiran Sosial (social skills)
b) Pengawalan Kendiri (self-regulation)
c) Motivasi Kendiri (self-motivation)
d) Empati
e) Kemahiran Sosial (social skills)
Faktor atribusi pertama iaitu kesedaran
kendiri bermaksud kebolehan seseorang guru untuk mengetahui perasaan mereka
dalam satu-satu situasi dan keupayaan mereka untuk memilih keutamaan panduan
dalam membuat keputusan. Seseorang guru yang mempunyai kesedaran kendiri juga
mempunyai penilaian yang realistik tentang keupayaan diri dan mereka mempunyai
keyakinan diri yang utuh.
Pengawalan kendiri (self-regulation)
dimaksudkan sebagai kebolehan mengurus emosi agar ianya memudahkan dan bukannya
mengganggu dalam menyelesaikan sesuatu tugasan. Guru yang boleh mengawal diri
mereka sentiasa berhemah dan boleh menangguhkan sementara perasaan negatif
mereka. Guru sedemikian juga cepat pulih daripada tekanan emosi.
Guru yang mempunyai motivasi kendiri
(self-motivation) berupaya menggunakan kehendak diri dalam menggerak dan
memandu arah mereka untuk mencapai sesuatu tujuan. Motivasi kendiri boleh
membantu seseorang dalam mengambil inisiatif dan bersungguh-sungguh untuk
memperbaiki diri. Individu dengan motivasi kendiri yang tinggi sentiasa tabah
apabila menghadapi masalah atau dalam keadaan kekecewaan yang tinggi.
Empati merupakan faktor atribusi yang boleh
membantu seseorang mengesan perasaan orang lain. Sifat berempati juga
membolehkan seseorang guru melihat atau memahami sudut pandangan orang lain.
Sifat ini juga boleh menjadi faktor pencetus dan penyubur kemesraan dan
keserasian dengan individu dari pelbagai latar belakang. Individu yang
mempunyai sifat empati boleh menyelami keperitan, kesusahan, kekecewaan atau
keraguan seseorang terhadap sesuatu perkara. Rogers (dalam Corey, Corey &
Callahan 1998) menyatakan bahawa seseorang yang boleh menunjukkan sifat
berempati akan lebih mudah berinteraksi dengan orang lain terutama dalam proses
membantu seseorang. Guru perlu memiliki sikap ini supaya dengan mudah memahami
dan mendekati murid. Murid akan berasa selesa bersama guru dengan adanya
kemahiran tersebut.
Faktor atribusi terakhir yang dicadangkan oleh
Goleman (1999) ialah kemahiran bersosial (social skills). Beliau menyatakan
bahawa faktor kemahiran bersosial ini membolehkan seseorang mengurus pelbagai
emosi secara efektif dalam perhubungan. Mereka juga mampu mentafsir dengan
tepat situasi sosial dan jaringannya selain daripada mahir memujuk dan
memimpin. Seseorang guru yang mempunyai kemahiran bersosial yang berkesan juga
mampu menjadi pakar runding yang baik disamping berkebolehan menyelesaikan
konflik bagi mewujudkan kerjasama dan semangat berpasukan dalam bilik darjah.
Selain itu hubungan interpersonal yang baik
juga perlu bagi guru antaranya berkongsi masalah dengan rakan sekerja, rakan
sekerja sentiasa memberi kerjasama dan sentiasa mendapat galakan daripada
pentadbir atau pengetua. Guru juga telah dibebankan dengan pelbagai tugasan
pentadbiran yang telah menjadi rutin pekerjaan mereka, umpamanya mengisi
borang, mengutip yuran, mengemas kini kedatangan pelajar, menyediakan laporan
prestasi, menyediakan soalan ujian dan peperiksaan, memberi bimbingan dan
pelbagai lagi bagi memajukan pelajarnya.
Kyriacou (1987) juga menekankan bahawa stres
yang berpanjangan boleh melemahkan mental dan fizikal serta berupaya melemahkan
secara signifikan kerjaya guru dan prestasi pelajarnya kerana stress
menjejaskan kualiti pengajaran dan komitmen para guru. Keberkesanan sesuatu
pendidikan adalah bergantung kepada pengerak utama sistem ini iaitu guru-guru.
Prestasi guru dan komitmen adalah penting bagi seseorang guru untuk membantu
anak bangsa dalam memperolehi kejayaan.
5.0 KAEDAH ISLAM DALAM MENANGANI STRES
Islam merupakan agama yang sempurna. Cara yang
terbaik dalam menangani stres ialah dengan mendekatkan diri kepada Allah. Hashim
Anang (2009) menyatakan pendidikan dan pengamalan Islam yang sepenuhnya akan
membantu mengatasi masalah stres dikalangan guru.
Seorang guru yang beragama Islam seharusnya memainkan
peranannya sebagai agen dakwah dengan melakukan segala perintah di dalam agama
Islam terlebih dahulu. Di dalam ajaran Islam misalnya, amalan solat yang
khusyuk lima waktu sehari semalam sebenarnya merupakan kaedah terbaik untuk
mencapai kejayaan dalam kehidupan sekaligus menangani segala masalah. Allah SWT berfirman dalam surah al-Mukminun,
23: 1&2 yang bermaksud: "Sesungguhnya berjayalah orang-orang Yang
beriman, Iaitu mereka Yang khusyuk Dalam solatnya".
Perkataan “aflaha” atau berjaya di sini
bukan sekadar berjaya di dunia malah berjaya juga di akhirat. Mereka yang beroleh
khusyuk dalam solat, akan juga beroleh khusyuk dan ketenangan dalam kehidupan
dan minda mereka. Malah seruan azan juga turut mengaitkan solat dengan
kejayaan. Marilah bersolat dan marilah menuju kejayaan.
Abu Darda' di dalam kitab al-Asas fi Tafsir menyatakan
bahawa khusyuk itu ialah pengagungan terhadap Tuhan, keikhlasan dalam
perkataan, kesempurnaan dalam keyakinan, memberikan sepenuh perhatian dan tidak
berpaling ke kiri dan kanan kerana ia adalah dari syaitan. Faedah khusyuk ini
akan membina jati diri seseorang muslim yang taat dan soleh, yang tenang dan
aman jiwanya dan yang ikhlas dalam tindak-tanduk amalnya. Ketenangan jiwa
merupakan penawar utama bagi masalah stres.
Berzikir juga merupakan amalan yang mampu
menenangkan jiwa dan menghilangkan stres. Dalam hal ini, Allah SWT memberi
jaminan bahawa mereka yang senantiasa mengingati-Nya akan beroleh ketenangan
hati. Allah SWT berfirman dalam surah al-Rad, 13: 28 yang bermaksud,
"(Iaitu) orangp-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah".
Ketahuilah Dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati
manusia". Allah SWT juga berfirman dalam surah al-Baqarah, 2:152 yang
bermaksud; "Maka berzikirlah (ingatlah) kepada-Ku, nescaya Aku akan
mengingati kamu sekelian".
Amalan membaca, mendengar dan menghayati
al-Quran juga mampu menjadi penenang kepada jiwa. Diriwayatkan bahawa
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Al-Quran adalah penawar kepada
kesakitan minda". (Hadis riwayat Bukhari). Rasulullah SAW juga pernah
bersabda: "Didiklah anak-anak kamu atas tiga sifat iaitu: Cintakan
nabi mereka, cintakan keluarga nabi dan membaca al-Quran".
Jelas di sini berdasarkan pencerahan beberapa
amalan di atas, Islam mempunyai kaedah tersendiri dalam menjaga kesihatan jiwa
dan menangani stres. Mereka yang mengalami stres khususnya di kalangan guru
seharusnya berusaha mencapai solat yang khusyuk, sentiasa berzikir dan menghayati
isi kandungan al-Quran. Amalan-amalan ini terbukti mampu menjadikan diri kita
sihat zahir dan batin.
6.0 PENUTUP
Profesion perguruan adalah profesion yang
tidak mempunyai pembahagian masa yang jelas antara masa bekerja dan masa tidak
bekerja. Keadaan sedemikian sememangnya mewujudkan stres kepada guru-guru.
Profesion keguruan dan tugas guru merupakan
bidang yang kompleks dan mencabar. Guru bukan sahaja perlu mengajar, malah
perlu melakukan kerja-kerja pengkeranian dan pentadbiran, menjalankan aktiviti
kokurikulum dan juga melibatkan diri secara aktif dalam Persatuan Ibu-Bapa dan
Guru. Disamping kerja-kerja yang dinyatakan, guru juga perlu memastikan
tanggung jawab utama iaitu berinteraksi dengan pelajar-pelajar secara fizikal,
dan emosi semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung dalam keadaan
yang kodusif.
Boleh dikatakan stres dapat dikawal dengan
baik oleh guru sekiranya mereka mementingkan kepada cara-cara untuk menguruskan
stres tersebut. Pengurusan stres amat kritikal atau diperlukan oleh guru bagi
memastikan mereka sentiasa bersedia
untuk menghadapi segala cabaran dalam profesion keguruan dan dunia pendidikan
yang mendatang. Hal ini seterusnya akan membantu pemecutan kemajuan bidang
pendidikan negara.
disediakan oleh : ahmad faiz bin Malek Sifulazan
menarik. izin nk share tq
ReplyDeletemohon izin share
ReplyDeleteizinkan nk share tq
ReplyDelete